Monday, April 23, 2018

Pergerakan Global Tuntut Hapuskan Plastik Guna Buang, Guna Sekali

Gesaan Terhadap Pihak Kerajaan dan Korporat Agar Bebas Daripada Plastik
Sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Bumi pada tahun ini, #breakfreefromplastic, pergerakan global yang disokong oleh lebih daripada 1,100 pertubuhan, termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM), menggesa kerajaan di seluruh dunia  supaya mengehadkan atau menghapuskan penggunaan plastik guna sekali  (single-use plastics - SUPs), dengan menekankan bahawa pengeluaran dan penggunaan tanpa had plastik guna buang membawa kepada kebanjiran plastik sehingga menjadi krisis.
Memetik tindakan sejumlah 36 negara dan beratus unit kerajaan tempatan dan kota di seluruh dunia yang telah pun mengenakan larangan atau levi ke atas plastik guna sekali seperti beg plastik, straw, botol, cawan dan pisau-sudu-garpu, pemimpin pergerakan menegaskan bahawa lebih banyak negara dan institusi dijangka akan mengikuti langkah ini memandangkan perubahan sikap pengguna dan perubahan mendadak orang ramai terhadap pencemaran plastik semakin meningkat (laporan bertajuk Stemming the Plastic Flood dilampirkan).
“Berita baik ialah lebih banyak negara dan kota telah mula mengambil langkah konkrit untuk menggerakkan penduduk mereka daripada mimpi ngeri pencemaran plastik. Kami menjangkakan peningkatan kesedaran orang ramai dan kemarahan berhubung isu ini akan membantu merangsang kerajaan lain untuk melakukan perkara betul dengan mengehadkan atau melarang penggunaan dan perebakan plastik guna buang, terutama sekali apabila wujud alternatif yang mesra alam dan praktikal. Korporat yang terus mengeluarkan plastik guna sekali perlu memulakan usaha mereka-bentuk bagi menghapuskan produk mereka,” kata Von Hernandez, Koordinator Global #breakfreefromplastic.
Mengenakan cukai atau levi ke atas penggunaan SUPs seperti beg plastik atau mengharamkannya terbukti berkesan dalam menggalakkan pengguna untuk bertukar kepada alternatif. Polisi seperti itu juga mendesak korporat dan institusi untuk melakukan inovasi dan melabur lebih banyak dalam penyelidikan mengenai alternatif lestari.
Pada Hari Bumi 2018, ahli pertubuhan #breakfreefromplastic di seluruh dunia telah melakukan pelbagai aktiviti dengan menggesa korporat dan kerajaan supaya mengorak langkah ke arah bebas daripada plastik.
CAP telah mengadakan program kesedaran untuk kanak-kanak di Pusat Suya Meiyarivagam Pulau Pinang di Gelugor. Kami menjelaskan kepada kanak-kanak kenapa mereka perlu menghentikan penggunaan plastik guna sekali seperti straw, botol plastik dan beg plastik. Kanak-kanak juga diajar bagaimana untuk melakukan pengomposan sisa dapur organik dan membuat beg kain daripada baju-t lama.
CAP dan SAM menggesa kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa tempatan supaya mengenakan pengharaman terhadap barangan guna sekali yang tidak penting, serta barangan plastik guna buang. Kita perlu mengamalkan sistem sisa sifar dan hidup dalam harmoni dengan alam semula jadi.
Kata Tidak Kepada Plastik! Hentikan Pencemaran Plastik!
Siaran Akhbar, 23 April 2018
PERSATUAN PENGGUNA PULAU PINANG
Hari Bumi 2018

No comments:

Post a Comment