Monday, June 5, 2023

Belasungkawa - Perginya Seorang Cendekiawan Masyarakat Azizi Hj Abdullah (1942-2011)


Sejak 1980-an lagi, Azizi Hj Abdullah dengan menggunakan nama penanya yang terkenal Tukya, yang diambil sempena watak utama di dalam novelnya Seorang Tua di Kaki Gunung, telah menulis mengenai pelbagai isu yang melibatkan pengguna di dalam akhbar Utusan Pengguna.

Sejak awal penulisannya lagi, kesusahan, kemiskinan, penderitaan dan kemelaratan orang kampung telah menjadi subjek utama penulisannya. Malah ketika melakukan tugasan luar terutama sekali di kawasan pedalaman beliau sering mengimbau kembali suasana kehidupan yang dilalui di kampung kelahirannya.

Dalam isu kenaikan harga barang beliau menulis, “Inilah yang orang kampung meradang. Yang jadi mangsa bukan tuan-tuan besar yang pakai kereta besar, tapi orang kampunglah yang dapat tiga kunca padi satu relong atau tangkap ikan selalu dapat gelama, atau getah tak mau meleleh.

“Soal-soal seperti ini sebenarnya bukanlah soal kecil. Soal ini soal kepenggunaan yang mesti kita hitung dari semasa ke semasa. Pihak berkenaan pun kenalah ambil kira sama. Jangan asyik ikut telunjuk orang atas, atau majikan yang mengaut untung. Negara yang sihat ialah negara yang memelihara kepentingan pengguna dan antara dua pihak sama-sama mendapat faedah.” 

Dekad 1990-an, Azizi Hj Abdullah masih meneruskan penulisannya bersama dengan Utusan Pengguna melalui kolum tetap “Yang Didengar dan Yang Dilihat” berdasarkan pengamatan beliau terhadap isu-isu semasa yang masih berkait rapat dengan kepenggunaan.

Dalam salah satu kolumnya itu beliau menulis, “Satu hari saya ke Alor Setar, saya dapati ramai anak-anak muda, lelaki perempuan berkeliaran ke sana sini tanpa tujuan dan saya yakin hal yang sama berlaku juga di Pulau Pinang, Ipoh, Melaka, Seremban, Johor Baharu dan Kuala Lumpur.

“Saya melihat ini adalah sebagai gejala sosial dan ini umum sudah mengetahui. Gejala sosial remaja ini akan pula membawa padah buruk dan buktinya banyak sudah perilaku, sikap dan kejadian buruk berlaku kepada mereka.”

Azizi Hj Abdullah, 69, dilahirkan pada 4 April 1942 di Bukit Meryam, Kota Kuala Muda, Kedah. Di dalam dunia penulisan beliau banyak men
ggunakan nama samaran seperti Anita, Tukya, Jamong, Qalam Adly, Shahrul Manjarishah, Sri Bungsu, Tan Sri Sasterawan.

Memulakan kerjayanya sebagai seorang guru agama Islam di Sekolah Kebangsaan Sungai Taka, Serdang, Kedah, Sekolah Kebangsaan Dublin, Kulim, Kedah, Sekolah Kebangsaan Tunku Malik, Kulim, Kedah dan Sekolah Kebangsaan Seri Kulim, Kulim, Kedah.

Selepas bersara daripada perkhidmatan pendidikan beliau berkhidmat sebagai Editor Utusan Pengguna, akhbar terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Utusan Pengguna keluaran Mei 2001 adalah hasil penerbitan yang pertama di bawah kendaliannya.

“Bumi Yang Tenggelam” begitulah tajuk utama akhbar Utusan Pengguna Mei 2001 yang memaparkan perkampungan tradisi di daerah Sik, Kedah yang akan ditenggelami air akibat pembinaan Empangan Beris.

Beliau menulis, “Hampir 6,000 hektar bumi daerah Sik akan tenggelam. Dari flora dan faunanya, dari sungai jernih yang airnya mengalir, dari bukit bukau yang menjadi pasak akan dilimpahi air dan akan menenggelamkan semuanya. Ia bukan banjir seperti zaman Nabi Noh tetapi hasil dari teknologi masa kini.

“Perkampungan yang aman damai, di mana penduduknya berhuma dan menanam jagung, dari enak mencecah sambal dan ulam, anak-anak bermain sole dan ceki, mandi di sungai yang airnya jernih bagaikan air lokan dan sejuknya air gunung, segala-galanya akan musnah.”      

Sebagai Editor Utusan Pengguna beliau menulis pelbagai persoalan mengenai kehidupan manusia meliputi isu krisis keluarga, keruntuhan moral, gejala rasuah, pertentangan adat dan nilai budaya, kasih sayang sesama manusia, kegigihan manusia mempertahankan hak, dan pencemaran alam.

Ini semua dapat dilihat melalui karyanya di dalam buku yang diterbitkan oleh CAP, Air Mata Kerpan, yang menceritakan tentang kegigihan petani Kerpan mempertahankan sawah mereka daripada diambil untuk pembinaan kolam ternakan udang.

Luka Rakyat pula adalah satu lagi siri karya yang menggugah benak dan mengetuk sanubari serta mencabar akal nurani yang diusahakan oleh beliau mengenai kesengsaraan yang dialami oleh masyarakat bawahan.

Manakala Jiwa Hamba mendedahkan persoalan jiwa hamba ini yang bukan sekadar satu penyakit yang dampak soaialnya sangat nyata, akan tetapi betapa ia membawa kepada penyakit yang lebih besar iaitu bermaharajalelanya penguasa dan golongan penindas.

Mustadh’afin Yang Tertindas merupakan sebuah buku kritikan sosial yang bertujuan untuk mencelikkan masyarakat kepada dua jenis dunia yang hidup di bawah sistem dan wilayah yang sama.

Buku Gaya Hidup Ranggi dan Hentikan Hutang dan Boros memaparkan tulisan beliau yang banyak mengkritik kehidupan mewah dan membazir, baginya yang kaya semakin mewah, yang miskin pula semakin papa.

Sebagai pengarang, Azizi Hj Abdullah tidak pernah berhenti menulis, daya kreatif dan kreativitinya tetap subur dan tidak pernah tandus, malah beliau digambarkan sebagai penulis yang memberikan kepada kita gambaran seorang penulis yang bertahan sehingga ke akhir hayatnya.

Beliau adalah di antara yang amat sedikit yang tidak berhenti di tengah jalan dalam bidang penulisan terutama dalam kalangan rakan-rakan yang sama mulai mengarang pada tahun-tahun 1960-an sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 21 Ogos 2011 bersamaan 21 Ramadan 1432H.     

Azizi meninggalkan seorang balu, Zabedah Yusof, 65, serta dua anak perempuan, Anita, 40 dan Azimah, 21.

Presiden CAP, S. M. Mohamed Idris berkata, “Pemergian Allahyarham Azizi Haji Abdullah merupakan satu kehilangan yang amat besar kepada kita semua terutama sekali dalam dunia penulisan.

“Allahyarham Azizi adalah seorang kakitangan yang amat dedikasi dan setia di dalam menjalankan tugasnya dan pemergiannya ini adalah satu kehilangan yang amat besar kepada organisasi kami dan juga dunia sastera tanah air.

“Sumbangan beliau kepada pengguna Malaysia amat bermakna sekali. Tulisannya begitu berpengaruh dan memberikan kesan yang amat baik kepada kehidupan dan kebajikan pengguna Malaysia amnya, terutama sekali golongan miskin dalam masyarakat,” katanya lagi.        

 #my_article

No comments:

Post a Comment